Mengkarung.......
Jarang amat aku melihat mengkarung sekarang. Mungkin kerana habitat aku sekarang tidak sama dengan habitat mengkarung. Kalau dulu setiap hari aku akan dapat melihat mengkarung. Turun sahaja dari rumah, berjalan selangkah dua, aku sudah boleh berjumpa dengan mengkarung. Terutama di waktu tengah hari, mengkarung akan merayap-rayap keluar dari semak-semak memburu mangsanya seperti belalang dan juga serangga-serangga kecil.
Rupanya seperti cicak tetapi bersaiz besar. Warnanya berubah-ubah mengikut suasana keliling. Kalau dia berada dalam semak yang berwarna hijau, warnanya bertukar menjadi hijau dan begitu juga kalau dia merayap di atas tanah warnanya berubah kekuning-kuningan.
Ada sejenis lagi binatang yang hampir serupa dengan mengkarung iaitu sesumpah atau sesetengah orang memanggilnya sumpah-sumpah. Bezanya sesumpah dengan mengkarung ialah pada bahagian ekor dan kepalanya. Ekor mengkarung agak pendek dibandingkan dengan sesumpah yang mempunyai ekor yang lebih panjang. Begitu juga bahagian kepalanya, sesumpah mempunyai muncung yang tajam dibandingkan dengan mengkarung yang mulutnya berbentuk dempak.
Tetapi kedua-duanya mempunyai ciri yang sama iaitu boleh bertukar warna mengikut keadaan kelilingnya. Antara keduanya, sesumpahlah yang paling aku takut. Masa aku kanak-kanak dahulu, aku diberitahu bahawa sesumpah ini boleh terbang dan mengigit ubun-ubun kita hingga mati. Jadi bila aku terjumpa dengan sesumpah, biasanya aku akan menutup ku ubun-ubun dengan tangan, apabila mahu melintasinya.
Tetapi mengkarung tidak pula aku pernah mendengar apa-apa cerita mengenai bahayanya. Oleh itu hari ini aku mahu menggunakan MENGKARUNG untuk menyatakan sesuatu yang terbuku di benak ku.
No comments:
Post a Comment